Koperasi Bestari Sekolah Kebangsaan Taman Ria Padang Serai Berhad (KOBESTAR) telah ditubuhkan pada 7 April 2019 oleh Guru Besar iaitu Puan Rosnah Binti Hamzah dan Yang Dipertua PIBG Encik Shauki Bin Zainon pada ketika itu .Idea penubuhan Koperasi ini dicadangkan oleh cikgu Kartini Suhari dan di sokong oleh cikgu Rosmarniza Rosdi.
Guru besar dan barisan pentadbir pada ketika itu sangat menyokong kuat penubuhan koperasi ini. Matlamat penubuhan koperasi adalah untuk menambah sumber kewangan sekolah bagi melancarkan pengurusan pembangunan infrastruktur sekolah serta pembangunan kemenjadian murid.
Mesyuarat ahli lembaga koperasi yang pertama telah diadakan pada 2 Januari 2019 dengan kehadiran 2 orang pegawai dari suruhanjaya koperasi malaysia sebagai pembimbing. Koperasi sekolah mula beroperasi pada pada Mac 2019 dengan mengambilalih sepenuhnya operasi jualan yang sebelumnya diuruskan oleh pihak swasta. Disamping itu koperasi mula mengumpul modal dari anggota yang terdiri daripada sebilangan besar warga sekolah.
Ahli lembaga koperasi terdiri daripada 15 orang ahli manakala anggota koperasi berjumlah 72 orang. Yuran kemasukan yang dikenakan pada setiap ahli adalah sebanyak RM 20 dan syer saham sebanyak RM 100. Aktiviti jualan buku dan kelengkapan serta keperluan persekolahan dijalankan pada waktu rehat pada setiap hari waktu persekolan oleh jurujual yang dipilih dan dilantik oleh ALK melalui temuduga terbuka.
Setelah beberapa bulan penubuhan koperasi pihak sekolah mendapati sungguh banyak kebaikan yang diperoleh. Koperasi telah dapat memberikan faedah yang baik dan berterusan kepada warga sekolah terutamanya kepada murid-murid disamping Sumbangan daripada Persatuan Ibu, Bapa dan Guru (PIBG) untuk melancarkan setiap aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah.
Kepentingan lain wujudnya koperasi di sekolah ini telah memudahkan murid serta guru untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan di sekolah. Koperasi sekolah telah dapat memastikan murid sentiasa mempunyai barang seperti alat tulis demi pembelajaran yang lebih selesa. Selain itu, perkhidmatan seperti fotostat juga telah disediakan di koperasi sekolah untuk membantu guru dan murid mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Disamping itu,koperasi juga memberi harga yang berpatutan pada peralatan menulis dan buku nota berbanding harga luar sekolah. Hal ini secara langsung dapat membantu murid yang kurang berkemampuan untuk memiliki alat tulis atau buku nota yang sama seperti murid lain.
Intihannya, koperasi sekolah sangat penting untuk memudahkan urusan warga-warga sekolah.